Saturday, May 16, 2009

Anwar nafi kenyataan Anifah


KETUA UMUM KeADILan Anwar Ibrahim menafikan pernah menawarkan sebarang jawatan kepada Menteri Luar Anifah Aman untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton di Washington semalam, Anifah berkata bahawa Anwar menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau sekiranya menyertai Pakatan Rakyat September tahun lepas.

Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis tidak mempunyai jawatan ketika itu kerana beliau menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan di bawah kabinet Abdullah Badawi. Perdana Menteri baru, Najib Razak bagaimanapun mengangkat beliau sebagai mengteri penuh.

Menurut Anwar, beliau tidak terperanjat dengan kenyataan seumpama itu, kerana itu adalah kebiasaan bagi sesiapa yang baru dinaikkan pangkat.

"Biasalah, orang yang diam, bila naik pangkat dia bersuara. Sebelum ini dalam parlimen, dia (Anifah) hanya diam dalam Parlimen, tidak pernah membawa sebarang isu besar. Begitu juga, sepatutnya sebagai menteri, dia bawa isu-isu besar di Washington," kata Anwar kepada Suara Keadilan.

Ditanya lebih lanjut, Anwar berkata beliau tidak mahu melayan lanjut kenyataan seperti itu dan ingin menumpukan perhatian kepada pilihanraya kecil Penanti dan di Perak

No comments: