Saturday, May 16, 2009

Zambry hina mahkamah dan menipu rakyat



Pengerusi DAP Perak, Ngeh koo Ham menyifatkan tindakan Adun Pangkor, Zambry Kadir yang mengakui bahawa beliau sebagai Menteri Besar adalah satu tindakan yang menghina mahkamah serta suatu tindakan yang bersifat penipuan terhadap rakyat.

Menurut Ngeh, Zambry tidak boleh mengakui beliau sebagai Menteri Besar selagi Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang keputusan mengenai status penjawat Menteri Besar.

“Zambery tidak sepatutnya boleh melakukan perkara ini kerana perintah pembekuan yang diperolehi Zambry bukan bermakna keputusan Mahkamah Tinggi dibatalkan,” kata Ngeh kepada Media.

Pada 12 Mei lalu, Zambry telah berjaya mendapatkan kebenarakan dari Hakim Mahkamah Rayuan, Ramly Mohd Ali untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat sehari sebelum itu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Namun Zambery bertindak memasuki Pejabat Menteri Besar setelah Nizar membuat keputusan untuk menghormati keputusan mahkamah Rayuan dan meninggalkan perkarangan bangunan pentadbiran negeri Perak sejurus selepas mahkamah tersebut membuat keputusan.

Mengulas perkara berkenaan,Ngeh berkata tindakan Zambry memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan memberi gambaran palsu kepada rakyat seolah-olah beliau telah memenangi kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

"Ini merupakan penipuan yang memalukan oleh Zambery dan media milik kerajaan untuk menghalalkan sesuatu yang tidak benar," katanya.

Menurut Ngeh lagi, perintah yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hanyalah hanya meminta Nizar tidak menggunakan haknya sebagai mana yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi sehingga kes beliau didengar di mahkamah yang lebih tinggi.

“Jadi statusnya sekarang, Nizar masih Menteri Besar yang sah dan Zambry yang haram tetapi tidak seorang daripada mereka dibenarkan melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar buat masa ini kerana keputusannya akan ditentukan selapas keputusan sebenar dari Mahkamah Rayuan nanti,” katanya lagi.

Ngeh juga menimbulkan persolan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kerana Seksyen 54 Akta Relief Khas melarang mahkamah memberi injunksi sekiranya ia menjejaskan tanggungjawab sesebuah kerajaan kepada rakyat.

Seksyen 54(d) menyatakan: “Injunksi tidak boleh diberi untuk menjejaskan tanggungjawab mana-mana jabatan Kerajaan Malaysia atau tindakan sebuah kerajaan asing.”

“Maka perintah pembekuan itu boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk injunksi,” hujah Ngeh yang dilaporkan media.

Ngeh berkata oleh kerana Zambry tidak boleh menjalankan tugas Menteri Besar beliau juga tidak mempunyai hak untuk membatalkan keputusan penggantungan Setiusaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang, Ahmad Kamal Md Shahid.

Ngeh juga menyanggah kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengatakan kedua-dua penjawat awam tersebut tidak boleh digantung tugas.

“Kedua-dua mereka adalah pegawai persekutuan yang masing-masing dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan.

“Walau bagaimanapun apabila mereka dipinjamkan and digajikan oleh kerajaan negeri maka kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas mereka sebagai majikan.

“Oleh yang demikian mereka boleh digantung tugas sementara menunggu pertuduhan rasmi terhadap mereka diserahkan kepada kedua-dua suruhanjaya,” jelas Ngeh lagi.

No comments: