Friday, May 15, 2009

Tindakan hakim Mahkamah Rayuan belakangi prosidur - Zulkifli Nordin


Keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Ramly Ali yang membenarkan permohonan Zambery Kadir untuk menggantung perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 12 Mei lalu yang mengistiharkan Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah merupakan suatu kesilapan yang membelakangi prosidur perundangan.

Menurut Peguam Zulkifli Nordin, keputusan yang dibuat Ramly bertentangan dengan peruntukan Perkara 13 Kaedah Mahkamah Rayuan yang menyatakan "Sesuatu rayuan tidak boleh menggantung penguatkuasaan sesuatu penghakiman"

"Ini bermakna dari segi prinsip perundangan, sesuatu penghakiman itu tidak boleh digantung atau ditahan penguatkuasaannya kecuali pihak yang merayu tersebut boleh membuktikan ujud satu 'keadaan istimewa' dimana jika penghakiman itu dilaksanakan akan menyebabkan rayuan mana-mana pihak akan menjadi hampa (jika rayuannya dibenarkan).

"Dalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi sekadar mengesahkan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar, dan itulah kedudukan beliau sebelum daripada ini.Jadi tidak timbul keadaan istimewa.

"Ianya akan jadi keadaan istimewa sekiranya keputusan itu menyebabkan negeri Perak ketiadaan Menteri Besar sehingga rayuan itu didengar dan diputuskan.

Menurut Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dalam blog beliau zul4nordin.blogspot.com berkata keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hanyalah berhubung status Zambery yang tidak lagi menjadi Menteri Besar.

"Ini bukan 'keadaan Istimewa' kerana penguatkuasaan hanya menyuruh Zmbery mengosongkan pejabat dan kediaman Rasmi Menteri Besar.

"Apa yang saya nampak kes ini menjadi keistimewaan hanyalah bagi BN kerana mereka kehilangan kerusi Menteri Besar di Perak.Dan kehilangan kerusi MB bagi BN bukanlah keadaan istimewa saperti yang disyaratkan oleh undang-undang untuk memberikan perintah penggantungan perintah Mahkamah Tinggi tersebut," sinis beliau.

Katanya, "lebih menghairankan apabila bagaimana Hakim Ramly yang tidak membicarakan kes tersebut dan tidak mendengar saksi dan keterangan boleh menyatakan Zambry Kadir sebagai Menteri Besar sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes itu iaitu Aziz Abdul Rahim telah memutuskan sebaliknya.

"Saya juga hairan bagaimana Ramly boleh membicarakan permohonan Zambry tersebut dengan bersidang seorang diri sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan undang-undang menyatakan dibawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "melainkan dinyatakan sebaliknya, apabila sesuatu permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, ianya HENDAKLAH dibuat di Mahkamah Tinggi dahulu (sila rujuk juga buku Civil Procedure tulisan Jefrey Pinsler m/s 860)," jelas Zulkifli dalam blognya.

Menurut Zulkifli yang pernah menjadi Peguam dalam beberapa kes berprofail tinggi termasuk kes yang melibatkan penganiayaan ke atas Anwar Ibrahim berkata permohonan Zambry sepatutnya difail dan didengar oleh Hakim yang membuat keputusan itu dahulu iaitu hakim Aziz Abdul Rahim. Malahan Aziz telah pun mengarahkan peguam Zambry supaya memfailkan permohonan secara bertulis.

"Inilah yang telah dilakukan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar Ibrahim berhubung isu permohonan penggantungan hukuman penjara terhadap DSAI dahulu sementara menanti rayuan.

"Bagaimana mungkin Hakim Ramly sebagai Hakim Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan membicarakan permohonan penggantungan penghakiman oleh Zambry sebelum Hakim mahkamah tinggi, Aziz Abdul Rahim mendengar dan membicarakannya?.

"Saya khuatir keputusan Ramly akan mengujudkan satu "precedent" baru yang bercanggah dengan semua prinsip dan keputusan Mahkamah-mahkamah sebelum daripada ini," kata Zulkifli lagi.

No comments: