Friday, May 15, 2009

PR sedia jumpa Najib demi kedaulatan rakyat


Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 14 Mei lalu secara terbuka bersedia bertemu Perdana Menteri, Najib Razak untuk memperkukuh demokrasi dan mengembalikan kedaulatan negeri Perak kepada rakyat negeri tersebut.

Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim dalam sidang media sejurus selepas tamat menyuarat tersebut berkata tujuan pertemuan tersebut bagi memastikan mandat rakyat Perak yang sah dikembalikan kepada rakyat secara terhormat.

"Pertemuan ini bukan untuk membincangkan sebarang bentuk kerjasama dengan BN tetapi semata-mata untuk membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut perlembagaan Perak yang semakin rumit.

"Kita mengambil pendekatan ini setelah merasakan BN telah menjadikan isu perlembagaan ini menjadi bertambah rumit dan kalau dibiarkan berterusan ia akan menyebabkan rakyat di negeri tersebut tidak akan dapat menfaat serta pembangunan yang sewajarnya," jelas Anwar.

Menurut Anwar, Perak harus diserahkan kepada rakyat untuk memilih pemimpin bagi menerajui negeri tersebut.

"Bukan kita sahaja membuat saranan supaya di adakan pilihanraya malah Suhakam, Majlis Peguam, NGO, beberapa pimpinan komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC, para cendikiawan serta pengamal undang-undang juga menggesa supaya pilihanraya merupakan jalan penyelesaian terbaik terhadap krisis di Perak," kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata Media Perdana samaada media eletronik dan media cetak yang dikuasai BN telah melaporkan banyak berita-berita yang yang menyeleweng dari keputusan sebenar di mahkamah baru-baru ini.

"Media perdana melaporkan seolah-olah menteri Besar Perak adalah Zambery sedangkan Mahkamah Tinggi telah memutuskan secara sah bahawa Nizar adalah menteri besar.

"Pelbagai penyelewengan inilah yang akan kita perbetulkan dalam pertemuan ini supaya kemelut Perak tidak diributkan lagi oleh pihak media perdana yang tidak bertanggungjawab itu," jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh

Dalam sidang media bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata pertemuan dengan perdana Menteri itu akan dihadiri oleh ketiga-tiga pemimpin tertinggi komponen Pakatan rakyat.

"PR lebih melihat kepada kepentingan rakyat melebihi dari kepentingan parti, maka tiada ada syarat yang perlu ditakuti oleh Najib kerana PR sentiasa bersikap terbuka dan kita tidak mengenakan sebarang syarat dalam menangani isu Perak.

"Kita melihat penyelesaian isu perak tidak harus dibuat oleh sebelah pihak, ia harus diselesaikan oleh semua pihak.

"Kita mengambil pendekatan bertemua ini setelah memikirkan bahawa penyelesaian ini perlu diselesaikan oleh pihak kita juga kerana kita melihat BN tidak mempunyai agenda khusus untuk menyelesaikannya," kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Manakala Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula pula menjelaskan pertemuan itu semata-mata untuk menyelesaikan krisis Perak tetapi juga telah memalukan imej negara dimata dunia.

"Pelanggaran ketiga-tiga instituasi perlembagaan antara Kuasa Legistatif, Eksekutif dan Perundangan negara telah mengheret Perak kepada krisis perlembagaan malah negara Malaysia secara keseluruhannya telah mengakibatkan kancah politik negara yang tidak stabil.

"Krisis ini sekiranya tidak diselesaikan segera akan mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap pelbagai institusi kerajaan seperti polis, SPR, badan kehakiman dan pelbagai lagi akan hilang," kata Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

No comments: